|
Saudara Astora,
SUDAH lama saya ingin memberi pandangan kepada Astora, tetapi baru kini saya berpeluang kerana baru mendapat talian Internet.
Untuk pengetahuan Astora, saya bukan ahli politik tetapi saya pada zahirnya ahli Umno dan pada hakikatnya tiada parti kerana saya percaya Islam tidak berparti.
Saya bukan seorang ahli agama, tetapi mempunyai agama iaitu Islam. Saya akan terus berutusan dengan Astora pada masa akan datang walaupun mungkin Astora tidak mempunyai masa untuk menjawab e-mel saya nanti. Maklumlah seluruh rakyat Malaysia baik dalam atau luar negara, baik Islam atau bukan Islam sentiasa mengikuti penulisan Astora.
Saya tidak mengenali Astora. Cuma adalah sikit pengetahuan mengenai siapa dia Astora melalui biodata dalam Utusan Malaysia. Saya ingin menyampaikan rasa gembira kepada Astora kerana pada akhirnya ada juga seorang hamba Allah yang berani memberi pandangan mengenai Islam dan tidak menyembunyikan perkara yang sebenar mengenai Islam.
Saya mengucapkan syabas kepada Astora kerana tulisan-tulisan Astora telah membuka minda umat Islam mengenai Islam yang sebenar. Saya rasa ramai di antara orang Islam di negara ini adalah bijak pandai dan cendekiawan. Cuma tidak ramai yang ahli agama. Tetapi ini bukan bermakna mereka itu jahil mengenai Islam. Cuma mereka tidak ke arah menjadikan diri ulama dalam bidang keagamaan.
Masing-masing telah ditentukan Tuhan menjadi ulama dalam bidang kedoktoran, ulama dalam bidang kejuruteraan, ulama dalam bidang perikanan, ulama dalam bidang pemakanan dan ulama dalam bidang yang begitu banyak dalam dunia ini. Dalam erti kata lain ulama ialah orang yang berilmu dalam bidang masing-masing seperti Ibn Sina iaitu ulama dalam bidang kedoktoran.
Yang membezakan antara satu sama lain ialah keimanan dan kebenaran seseorang itu dalam memikul tanggungjawab sebagai ulama dalam bidang yang dimiliki.
Kalau ia seorang ulama dalam keagamaan tetapi suka memanipulasikan ilmunya maka ia lebih rendah darjatnya daripada ulama perikanan (penjual ikan) yang jujur dalam memberikan perkhidmatan makanan agar kita dapat makan dan hidup termasuklah ulama keagamaan.
Kalau ulama keagamaan mendakwa mereka lebih alim dan tinggi daripada ulama perikanan kerana lebih tahu mengenai keagamaan, mereka silap besar. Ini kerana tidak semua di antara kita boleh menjadi ulama keagamaan kerana antara kita juga mesti ada ulama perikanan. Kalau tidak siapa yang nak ke laut, siapa yang nak bina rumah, siapa nak ubat orang sakit.
Oleh itu apa yang terjadi sekarang masing-masing mendakwa diri lebih ulama daripada ulama yang lain walaupun mereka lepasan universiti yang sama. Ini amat memalukan.
Kalau bohong cakap saya cubalah ulama-ulama keagamaan turun ke bawah dan lihat ulama-ulama bidang yang lain daripada keagamaan. Cuma mereka ini tidak boleh menjadi pemimpin keagamaan kerana tidak ada kelulusan bidang keagamaan tetapi bukan bermakna mereka tidak mahir dalam bidang agama.
Begitu juga seorang yang tahu mengenai undang-undang negara, mereka tidak boleh jadi peguam kerana tiada kelulusan dalam bidang tersebut.
Saya mohon maaf kalau tulisan ini menyinggung perasaan ulama-ulama keagamaan. Tapi saya lahirkan pandangan ini kerana ramai pembaca kita yang tak reti akan maksud ulama. Ada yang menuduh Astora bukan ulama, ulama kafir, ulama dusta dan sebagainya. (Walaupun Astora sendiri tidak mengakui diri Astora itu ulama). Yang pasti ada orang seperti Astora yang sanggup mengeluarkan pandangan walaupun mengetahui akan dilontar dengan berbagai-bagai halangan.
Ulama keagamaan sebenar ialah seorang yang dapat memberikan pandangan, buah fikiran, petunjuk, hala tuju, tempat rujukan dan sebagainya tetapi beliau bukan seorang yang pilih kasih, benci-membenci, berpihak, salah-menyalahkan, tuduh-menuduh, malah tidak juga membenci musuhnya walaupun tahu musuhnya telah melakukan kesalahan.
Sebenar-benar ulama keagamaan tidak berpolitik, tetapi orang yang beragama dan berpolitik mereka ini ulama politik namanya. Sebab itu walaupun mereka beragama, tetapi apabila telah masuk bidang ulama politik mereka boleh berkata bohong, mencaci, mencarut dan sebagainya.
Percayalah kalau benar-benar seorang ulama keagamaan, dia tidak akan memasuki politik tetapi dia akan menjadi penasihat politik. Apabila menjadi penasihat mereka tidak akan menyebelahi mana-mana parti baik pembangkang ataupun pemerintah.
Ulama keagamaan akan berkata benar dan tidak berkepentingan serta menyebelahi mana-mana pihak. Kalau benar katanya benarlah. Kalau hancur katanya hancurlah. Kefahaman ini penting agar kita tidak keliru. Terpulang kepada Astora untuk menyiarkan e-mel ini, cuma jangan siarkan alamat e-mel ini kerana kecenderungan saya bukan ke arah politik dan saya bukan seorang ahli politik. Saya hanya seorang penjual ikan yang beragama Islam.
Tok Banding Mat
|